Assalamualaikum buat adik beradik PMKUM yang di hormati..
Dalam risalah Ramadan ini, Imam al-Nursi menjelaskan mengenai beberapa isi penting yang berhubung dengan hikmah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.
(( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان))
Maksudnya: “ Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan perbezaan yang benar dengan yang salah “.
( al-Baqarah : 185 )
Hikmah pertama:
Puasa Ramadan merupakan antara rukun terawal yang disebutkan dalam rukun Islam. Rukun ini dikira sebagai syiar Islam yang paling besar.
Hikmah kedua:
Kehidupan sosial manusia: Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa peritnya berlapar, sudah pasti tidak ada seorangpun yang akan merasa kasihan terhadap orang lain, yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong orang itu
Hikmah ketiga:
Dari aspek pendidikan jiwa manusia: diri setiap insan akan mula berjinak-jinak dengan jiwanya, bermula daripada orang yang paling kaya hinggalah orang yang paling msikin. Dari situ, diapun mengerti dan sedar bahawa dia bukanlah pemilik, bahkan dia adalah milik orang lain bahkan terikat kepada pengabdian kepada Allah (s.w.t) disamping mendidik jiwa manusia yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan. Ia juga bertujuan untuk membentuk akhlak dan membebaskannya daripada
tindakan-tindakan yang melulu.
Hikmah keempat:
Dari aspek penurunan al-Quran dan bulan Ramadan sebagai bulan yang menerima penurunan iaitu: Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu penurunan al-Quran itu, di samping berusaha menjiwai jiwa kerohanian para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makan dan minum serta berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci itu baru sahaja diturunkan
Hikmah kelima:
Dari aspek usaha manusia yang datang ke dunia ini untuk menanam tanaman akhirat dan untuk memperniagakan tanaman itu bulan Ramadan: Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang berpuasa hasil yang boleh diperolehi oleh orang yang hiudp selama lapan puluh tahun. Dan kedudukan Lailat al-Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan seperti yang disebut :
((سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العلمين ))
Maksudnya: Maha Suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka lakukan. Dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas para rasul. Dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam.
( al-Saffat : 180-184 )
Amin1
Terjemahan ini dilakukan oleh Ustaz Muhammad Zaini Yahya dari Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan disemak oleh Ustazah Maheram Ahmad dan Prof. Madya. Dr. Abd. Rauh Yaccob dari Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA
Oleh : Sekretariat PMKUM.



















0 comments:
Post a Comment