
Perutusan Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Kelantan
Bismillahirrahmanirrahim,
Salam mahabbah dan ceria kepada warga keluarga besar mahasiswa anak Kelantan. Saya mengungkapkan penghormatan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pemilihan Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Kelantan sesi 2011/2012 ini . Saya ingin mengungkapkan kebahagiaan dan perasaan rendah diri yang menyelimuti diri ini saat berada di tengah-tengah kalian. Saya mengharapkan bimbingan daripada pihak pentadbiran dan kerjasama daripada semua ahli PMKUM untuk bersama-sama mengorak langkah dan melakar sejarah serta membawa PMKUM kearah kegemilangannya.
Sama-sama kita mencipta cerita yang baru ataupun kita akan terus mengulangi sejarah yang lama. Sungguh,saya tidak mampu mengungkapkan segalanya kerana jauh di sanubari ini sedang merasai kecintaan,kerjasama yang erat,persaudaraan yang tulus dan semangat berpasukan yang kukuh sesama kita. Semoga Allah memberikan taufiq kepada kita semua untuk melakukan kebajikan di bumi Universiti Malaya yang tercinta ini.
Saya dan barisan kepimpinan baru PMKUM sesi 2011/ 2012 akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah di berikan dengan sebaik mungkin berdasarkan misi dan visi yang akan di gariskan. Oleh itu, kerjasama dan komitmen dari ahli- ahli PMKUM yang lain amatlah kami harapkan.
Jarak antara kekalahan dan kemenangan itu dekat, perlu ada satu kelompok peneraju yang jujur, berilmu dan peka yang memahami keutamaan kerja, bekerja untuk merealisasikannya dengan penuh kesabaran, berakhlak mulia berlandaskan prinsip moral yang sangat tinggi. Juga perlu ada pemimpin yang peka dan matang,mempunyai matlamat yang jelas dan metod bergerak yang baik. Dengan bekalan ini, kejayaan organisasi kita semakin hampir. Golongan mahasiswa adalah generasi harapan bangsa Malaysia.
Akhir kalam, saya berharap agar lebih ramai ore klate yang berada di kampus ini mahupun sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama-sama dengan Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya ( PMKUM ) sesi 2011/2012 untuk kita mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara kita dan yang lebih utama, kita bersama-sama meneruskan kesinambungan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam mengajak umat manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. InsyaAllah.
Semoga warkah kali ini mengundang berkat.Ingatlah rakan seperjuangan sekalian, bermula hari ini, tanggungjawab kita melebihi masa yang kita ada.
Salam kasih sayang,
Che Mohd Rozaihan Bin Che Rosli
YDP PMKUM sesi 2011/2012


















0 comments:
Post a Comment